GUA MUSANG 22 Mei – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan menyelamatkan seorang wanita Orang Asli yang diserang sawan dari Kampung Chemal, Pos Belatim ke Hospital Gua Musang di sini, semalam.
Perephid Kamal, 23, dilaporkan mengalami sawan, demam dan muntah-muntah sejak dua hari lalu menyebabkan tubuh badannya lemah, hilang selera makan serta tidak berdaya untuk berjalan.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, wanita itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
Kata beliau, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang pada pukul 1.49 petang selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Kami tiba di Pos Belatim kira-kira 40 minit kemudian dan pesawat Agusta Westland 139 telah mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 2.52 petang.
“Pesakit tidak boleh berjalan dan terpaksa diangkat menggunakan pengusung serta dihantar ke hospital menggunakan ambulans dari balai bomba tersebut.
“Penerbangan ini diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba 1, Faizal Izani Azizan bersama pembantu juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba, Sharizal Sahari serta seorang anggota Pasukan Khas Udara Bomba, Pegawai Bomba Kanan II Muslimin Ahmad Sabari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Marzuki, Pos Belatim merupakan sebuah penempatan pedalaman dan sukar dihubungkan dengan kenderaan biasa menyebabkan keluarga tidak dapat membawa pesakit keluar.











