SHAH ALAM 22 Mei – Walaupun sudah banyak kali aduan dan rungutan disuarakan, keadaan jalan raya yang tidak rata, merekah dan berlubang terus mencacatkan imej Shah Alam.
Bertindak kepada aduan pembaca, Utusan Malaysia kali ini meninjau kerosakan jalan di Seksyen 11 yang merupakan antara lokasi tumpuan ramai.
Tinjauan mendapati berlaku rekahan turapan pada bahagian tengah dan pinggir jalan yang menyebabkan pemandu terpaksa mengelak kerosakan jalan berkenaan sehingga mencetuskan keadaan bahaya kepada pemandu lain.
Permukaan jalan yang pecah dan tidak rata itu juga berisiko kepada penunggang motosikal terutama pada waktu malam dan hujan lebat.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau dan membaik pulih keadaan jalan raya yang sebahagiannya sudah rosak sejak bertahun-tahun lamanya.











