Industri penerbangan dijangka berkembang - Utusan Malaysia

Industri penerbangan dijangka berkembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yakin momentum pertumbuhan industri penerba­ngan akan berterusan pada tahun ini dengan perkembangannya disasarkan pada kadar 6.5 hingga 7 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Eksekutifnya, Jen. (B) Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, prestasi ini sekali gus menyaksikan Malaysia melepasi paras 100 juta penumpang buat pertama kalinya.

Menurut beliau, 2017 merupakan tahun prestasi yang kukuh bagi industri ini berbanding 2016 dengan kadar aliran penumpang Malaysia mencatat pertumbuhan tahun ke tahun  sebanyak 8.1 peratus atau menyamai 99.1
juta penumpang antarabangsa dan domestik.

“Secara keseluruhan, industri penerbangan berada pada landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan walaupun dalam persekitaran mencabar, margin yang lebih kecil serta kenaikan harga minyak.

“Tempoh dua tahun lepas adalah kukuh sebagaimana dibuktikan menerusi pertumbuhan jumlah ­aliran penumpang, keberuntungan operasi industri dan modal pasaran syarikat penerbangan yang disenarai awam dalam
tempoh terbabit berbanding sebelum ini.

“Cabaran itu akan terus ada namun Mavcom optimis prestasi industri yang positif dalam tahun-tahun sebelumnya akan berterusan pada 2018,” katanya dalam laporan Laporan Industri Dwitahunan Waypoint  2018 yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut laporan tersebut, syarikat penerbangan Malaysia turut menyaksikan peningkatan perolehan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (RASK) pada kadar lebih tinggi berbanding kos tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (CASK).

Bagi  tempoh 2014 dan 2017, termasuk kerugian operasi RM0.5 bilion pada 2014, industri penerbangan mencatat pemulihan ketara apabila keuntungan operasi menokok kepada RM1.6 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun, harga minyak dijangka meningkat antara 8.5 peratus hingga 10.3 peratus pada 2018 bagi tahun ke tahun berbanding unjuran oleh agensi antarabangsa termasuk Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Faktor itu dijangka memberi tekanan kepada keuntungan syarikat penerbangan yang sememangnya sensitif terhadap persekitaran tambang rendah yang serba kompetitif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini