PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitamkan untuk ke luar negara.
Menurutnya dalam satu kenyataan, kedua-dua mereka baru disenarai hitamkan oleh imigresen.
“Jabatan Imigresen ingin mengesahkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara, katanya dalam laman rasmi Facebook Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan bekas pemimpin negara dan isterinya tidak disenarai hitamkan ke luar negara.
Sementara itu, Najib dalam satu kenyataannya di laman Twitter menjelaskan bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkannya dan keluarga ke luar negara.
“Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara,” jelasnya dalam Twitter tersebut.
Semalam tersebar laporan mengenai sebuah pesawat peribadi dari Indonesia akan membawa bekas pemimpin negara itu ke negara tersebut dari Lapangan Terbang Subang hari ini.
Laporan tersebut yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah menarik minat banyak pihak dan ada daripadanya menuduh pemimpin tersebut cuba melarikan diri ke luar negara selepas tewas mengejut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.










