PUTRAJAYA 22 Mei – Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini menyerahkan tugas kepada Menteri Pendidikan yang baharu, Dr. Maszlee Malik pada satu majlis di Presint 5, di sini.
Dr. Maszlee berkata, majlis penyerahan yang berlangsung itu memperlihatkan amalan politik matang yang akan diwarisi oleh kerajaan pada masa akan datang.
“Kita hari ini adakan majlis walaupun lain-lain parti dan kerajaan. Ini politik matang. Tanpa sikap budiman ini, majlis seumpama ini pasti tidak akan berlaku.
“Tahniah kepada Idris kerana telah memacu kementerian sehingga menempa banyak kejayaan. Kita juga akan pastikan idea-idea bernas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dapat diteruskan dengan beberapa penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah – Terima Tugas Mantan Menteri Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pendidikan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Idris berkata, warga kementerian setakat ini telah berjaya membawa lonjakan dalam sektor pendidikan tinggi serta menjadikan kementerian sebagai antara paling inovatif.
Katanya, kejayaan berkenaan adalah berlandaskan PPPM justeru, ia perlu diteruskan bagi memastikan segala lonjakan yang terkandung dalamnya dapat dizahirkan sebaik-baiknya.
“Saya hendak memohon maaf selama saya di kementerian ini. Saya harap kementerian akan diberikan kebaikan dan pertunjuk untuk terus berjaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










