Bijak menyusun atur kata-kata dan mempunyai visi yang jelas dalam hidup berjaya melonjakkan nama Amy Nur Tinie Abd. Aziz, 22, sebagai juara pertandingan Pencarian Gadis Melayu (PWM) 2018 di Plaza Shah Alam, Selangor pada 28 April lalu.
Kejayaan itu melayakkannya menyandang gelaran Ikon Wanita Melayu 2018 dengan menewaskan 11 lagi finalis yang turut sama bertanding.
Amy Nur Tinie yang lebih mesra disapa Tinie berkata, dia sama sekali tidak menyangka percubaan kali pertama pada program pencarian bakat seumpama ini membuahkan hasil.
“Saya memang tidak menyangka mampu menjadi juara kerana persaingan yang begitu sengit daripada peserta dengan pelbagai latar belakang pendidikan serta kelebihan masing-masing.
“Alhamdulillah, meskipun sedikit gemuruh, saya berjaya mempamerkan persembahan penuh yakin, sekali gus memperoleh kepercayaan juri untuk dipilih sebagai juara,” katanya.
Dia membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM16,898 termasuk wang tunai bernilai RM5,000, barangan Habib Jewels berharga RM5,000 serta dua utas jam tangan mewah tajaan Ice Watch iaitu City Milanes dan Ice Crystal berharga RM2,048.
Tambah Tinie, antara yang paling mengujakan pada peringkat akhir pertandingan ialah sewaktu memperagakan barangan tajaan Ice Watch.
“Secara jujurnya, saya sangat meminati jam Ice Watch dan turut mempunyai beberapa koleksi peribadi jenama ini sejak zaman persekolahan lagi.
“Mungkin kerana teruja dapat menggayakan koleksi mewah Ice Watch, saya cukup bersemangat seterusnya berjaya mempamerkan persembahan yang baik pada hari tersebut,” kongsinya yang memperagakan koleksi Ice Loulou pada pentas akhir pertandingan.
Sementara itu, Pengurus Besar Time Zone Sdn. Bhd., Rizwan Shah Azlan berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada PWM2018.
“Sepanjang 11 tahun beroperasi, tidak dapat dinafikan bahawa golongan wanita jugalah yang bertindak sebagai pelanggan dan pencetus inspirasi jenama ini. Jika dilihat, kesemua koleksi kami adalah sangat mementingkan nilai dan reka cipta yang cocok digayakan oleh wanita terutamanya.
“Justeru, penglibatan Ice Watch dalam pertandingan pencarian bakat seperti ini dianggap sebagai tanda penghargaan kami dalam mengangkat martabat wanita di Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, kesemua finalis PWM2018 telah dibawa melawat galeri Ice Watch di Ampang, Selangor bagi mencuba aksesori jam tangan yang perlu digayakan pada peringkat akhir pertandingan tersebut.
Menurut Rizwan Shah, antara koleksi Ice Watch yang dilihat paling menarik perhatian peserta pada sesi lawatan itu ialah City Milanes dan City Sparkling.
“Koleksi City Sparkling mungkin digemari kerana sifatnya yang berkilau mewah dengan kepelbagaian warna seperti emas, ros kemasan, hitam serta kelabu metalik.
“Pelanggan lelaki juga ramai yang menggemari koleksi ini kerana ia didatangkan dengan dua saiz permukaan iaitu 36 milimeter dan 32 milimeter, sekali gus sesuai digayakan mengikut pergelangan tangan si pemakai,” jelasnya yang menyifatkan rekaan Ice Watch sebagai kontemporari dan uniseks.
Terbaharu, jenama dari Belgium ini turut memperkenalkan koleksi Pierre Leclercq, jam dua ton warna dengan lapan rekaan menarik.










