Hukuman penjara suri rumah ditangguhkan - Utusan Malaysia

Hukuman penjara suri rumah ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mei – Seorang suri rumah yang dikenakan hukuman penjara lapan tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya terhadap semakan didengar di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim membebaskan Rozita Mohamad Ali, 44, dengan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin serta beberapa syarat tambahan.

Kuorum berkenaan sebulat suara membenarkan permohonan wanita itu untuk menangguhkan hukuman penjara tersebut dan mengarahkan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan dan diperintah melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu.

Rozita merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu yang mengetepikan bon jaminan berkelakuan baik yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan menggantikan dengan hukuman penjara lapan tahun.

Ketika di Mahkamah Sesyen, wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, setelah video mengenai kejadian itu telah menjadi tular dalam media sosial.

Rozita didakwa telah menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih.

Wanita itu sebelum ini didakwa atas tuduhan cubaan membunuh mangsa sama dalam kejadian yang didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara dekat sini antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN