KULAI 11 Mei – Kerajaan negeri yang baharu berpendapat hubungan Johor dan Singapura boleh diperkukuhkan lagi sekali gus mahu melihat negeri ini bukan sahaja melengkapi republik itu tetapi turut bersaing secara sihat.
Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat sudah memilih Pakatan Harapan untuk mentadbir Johor dan mereka kini perlu melihat semua aspek melangkaui sempadan serta mempunyai hubungan baik dengan negara jiran.
“Singapura sentiasa menjadi rakan negara jiran yang istimewa bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga Johor dan mempunyai hubungan yang baik sehingga kini. Jadi, saya rasa kita akan memperkukuhkan hubungan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Hotel Le Grandeur, Senai di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Setiausaha PPBM negeri, Datuk Osman Sapian, dua nama yang disebut-sebut akan menjadi Menteri Besar Johor baharu yang akan diumumkan esok. – UTUSAN ONLINE










