KUALA LUMPUR – Penurunan harga kereta berikutan langkah kerajaan meletakkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa pada 1 Jun ini ibarat durian runtuh bagi orang ramai yang ingin membeli kenderaan.
Semalam, pengimport rasmi jenama Porsche, Sime Darby Auto Performance (SDAP) mengumumkan harga baharu bagi keseluruhan model Porsche sejajar dengan pengumuman kerajaan yang amat dinanti-nantikan itu.
Mulai 1 Jun ini, Porsche menawarkan pengurangan sehingga RM88,000 menerusi beberapa modelnya.
Menurut kenyataan itu, model Panamera Turbo yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM1,462,264 turun sebanyak RM87,736 untuk model standard.
“Semua model 718 Cayman Porsche pula bermula RM509,434 setiap unit setelah ditolak GST sebanyak RM30,566.
“Harga baharu ini kekal sehingga pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijangka dua hingga tiga bulan dari sekarang,” kata kenyataan tersebut.
Tambah SDAP, pengumuman harga baharu tersebut merangkumi jaminan selama empat tahun yang ditawarkan SDAP menerusi pakej penyelenggaraannya termasuk servis perkhidmatan, peralatan dan buruh.










