KOTA KINABALU 28 Mei – Semua harga runcit bagi barang keperluan harian termasuk bahan kering dan basah kekal sejak kira-kira dua bulan lalu meskipun bakal menyambut perayaan Pesta Kaamatan, Rabu ini.
Tinjuan Utusan Malaysia di beberapa pasar tamu harian dan Pasar Besar Kota Kinabalu mendapati semua harga masih sama dan tiada sebarang kenaikan harga dalam jangka masa terdekat.
Harga runcit bagi ayam ialah RM9.80 sekilo, udang bermula dengan harga RM23 dan bawang sekitar antara RM5 hingga RM10 untuk sekilo.
Bagaimanapun harga telur ayam pula mengalami penurunan sebanyak 50 sen sejak dua bulan lalu.
Seorang peniaga, Erlyn Abd. Rahim, 41, menyifatkan semua harga barang keperluan tersebut masih terkawal dan berada pada tahap yang munasabah.
“Semua harga yang dijual hari ini adalah sama dengan harga sebelum ini dan tiada sebarang kenaikan atau penurunan dilakukan khususnya pada musim perayaan ini,” katanya di sini.
Seorang lagi peniaga, Admon Pedro, 23, memberitahu, semua bekalan barangan keperluan harian tersebut dilihat masih mencukupi untuk persediaan sambutan perayaan bagi Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Berdasarkan kepada bekalan yang ada sehingga hari ini, ia masih lagi dapat menampung permintaan pasaran untuk mereka membuat persediaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











