KUALA LUMPUR – Harga pelbagai barang keperluan dan bahan mentah di seluruh negara didapati masih tidak seragam walaupun pemansuhan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus tinggal cuma empat hari sahaja lagi.
Malah lebih mengejutkan, tinjauan Kosmo! di pasar dan kedai runcit utama di seluruh negara mendapati orang ramai merungut kerana harga beberapa barang seperti ayam dan pelbagai jenis ikan mencatatkan kenaikan difahamkan atas faktor bulan Ramadan.
Antara barangan basah yang mencatatkan harga tidak seragam paling ketara ialah ikan kembung saiz besar apabila ia dijual pada kadar RM8 di Kedah tetapi melonjak sehingga RM18 di Negeri Sembilan dan Terengganu.
Di Johor, seorang pekerja kilang, Marzuan Omar (gambar kecil), 33, berkata, dia berasa bimbang sekiranya ketidaktentuan harga berlarutan ia akan menyebabkan peningkatan harga barang mentah pada masa akan datang.
“Saya bimbang dengan kenaikan harga barang mentah khususnya menjelang perayaan. Kita mungkin tidak sedar harga telah naik sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui di Pasar Borong Smart, Pandan, Johor Bahru semalam.











