KUALA LUMPUR 12 Mei – Wanita UMNO berharap peralihan kuasa, perubahan serta pembangunan parti itu dapat dilakukan secara sempurna dan bijaksana demi mendapatkan kembali mandat rakyat negara ini.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menunjukkan beliau mengutamakan kepentingan parti, ahli dan rakyat lebih daripada dirinya selaku individu yang membuat keputusan tersebut.
“Kami Wanita UMNO menerima realiti ini dan mengucapkan terima kasih kepada Najib. Suka atau tidak, kita mesti ingat hakikat tersebut dan banyak jasa beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri. Itu kita jangan lupa.
“UMNO melalui saat-saat yang amat mencabar, tetapi kena ingat kita antara institusi terbesar di Malaysia dan kita adalah parti politik yang terbesar dari segi keahlian dan pengalaman. Oleh itu, saya minta ahli parti bertenang dan ikut Perlembagaan,” katanya selepas sidang akhbar khas pengumuman peletakan jawatan Najib di Ibu pejabat UMNO di sini hari ini.
Mengulas lanjut Shahrizat berkata, Wanita UMNO sentiasa bersedia untuk membantu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjalankan tugas memimpin parti.
Malah katanya, dengan kepemimpinan Ahmad Zahid dan Hishammuddin, diharapkan UMNO dapat pulih secepat mungkin, selain mesyuarat serta kajian parti perlu diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah kita bertaut antara kita dan jangan biar sesiapa memecahbelahkan kita. Saya berharap, Wanita menerima dengan tenang dan ikhlas kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” jelasnya.
Shahrizat turut menyatakan bahawa UMNO masih relevan dan parti itu telah mendapat pengajaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Dalam pada itu Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika ditemui enggan mengulas berhubung peletakan jawatan tersebut.










