Hapuskan dasar 'operator eksklusif' pembalakan - Utusan Malaysia

Hapuskan dasar ‘operator eksklusif’ pembalakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 29 Mei – Kerajaan negeri akan menghapuskan semua dasar yang melibatkan kuasa ‘operator eksklusif’ dengan melibatkan perjanjian istimewa dalam industri pembalakan di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…
Mohd. Shafie Apdal
MOHD. SHAFIE

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara tersebut mesti dihentikan serta-merta kerana ia dilihat tidak memberi keuntungan kepada kerajaan mahupun rakyat.

Menurutnya, langkah itu juga dilihat bertepatan kerana sebarang urusan perniagaan kerajaan atau agensinya mesti dilakukan dengan produktif serta memberi faedah yang maksimun kepada rakyat, sebaliknya bukan kepada pemimpin tertentu.

“Dasar ‘operator eksklusif’ yang diamalkan kerajaan sebelum ini dan bekas Ketua Menteri akan dihentikan kerana ia telah menyebabkan hanya syarikat tertentu sahaja memperoleh keistimewaan daripada industri ini.

“Ini kerana, perjanjian mereka adalah melibatkan pengambilan kayu balak, membeli dan kemudian mempunyai keistimewaan untuk mengeksport pada harga tertentu sehingga mengetepikan anak syarikat kerajaan negeri seperti Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. (RBJ),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Yayasan Sabah berkata, operasi RBJ juga dilihat mampu menjana keuntungan yang baik jika ia dilakukan dengan cara yang betul.

“RBJ akan memperoleh keuntungan yang lebih baik jika ia menjual balak itu sendiri seperti sebelum ini, tetapi sekarang kelihatan seperti ‘kontraktor eksklusif’ telah memperoleh keuntungan yang besar menerusi aktiviti pembalakan ini.

“Justeru, terdapat keperluan yang mendesak untuk kita letakkan perkara yang betul dan saya akan berusaha untuk memberi peluang kepada RBJ sekali gus menjadikan Yayasan Sabah sebagai agensi yang mampu menyediakan perkhidmatan pendidikan dan perubatan percuma kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini