MADRID 9 Mei – Juara bertahan Simona Halep mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran Terbuka Madrid buat kali ketiga berturut-turut setelah menumpaskan wakil Belgium, Elise Mertens dalam pusingan kedua hari ini.
Halep, pemenang kejohanan 2016 dan 2017, dipaksa bekerja dalam set kedua di Manolo Santana sebelum pemain No. 1 dunia itu beroleh kemenangan 6-0, 6-3.
Kristyna Pliskova dari Republik Czech menanti Halep pada peringkat 16 terbaik dalam persediaan bintang tenis Romania itu membuat persiapan bagi menghadapi Terbuka Perancis, yang pernah menyaksikannya muncul naib juara sebanyak dua kali.
“Saya rasa saya bermain dengan baik sekali lagi. Pertemuan ini merupakan perlawanan kedua buat saya dalam pertandingan ini. Saya mempunyai perasaan yang positif,” kata Halep.
Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Petra Kvitova berhempas pulas sebelum meraih kemenangan 6-3, 7-6 (10/8) ke atas pencabar dari Puerto Rico, Monica Puig.
Sementara itu, pemain tuan rumah Garbine Muguruza menewaskan Donna Vekic 2-6, 6-4, 6-1.
Dalam saingan lelaki, Juan Martin del Potro membuka aksinya di gelanggang tanah liat dengan kemenangan ke atas Damir Dzumhur dalam perlawanan pertamanya sejak tewas di separuh akhir Terbuka Miami kepada John Isner Mac lalu.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu, yang memenangi dua gelaran tahun ini termasuk di Indian Wells, menundukkan Dzumhur dari Bosnia 6-3, 6-3.
Del Potro mengakui kecederaan berterusan yang dialaminya di pergelangan tangan menjadikan aksi di gelanggang tanah liat lebih sukar baginya berbanding di permukaan lain. – AFP










