Hafizh sedia pacu kebangkitan - Utusan Malaysia

Hafizh sedia pacu kebangkitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sesi ujian di Litar Catalunya minggu lalu sangat penting baginya untuk mengembalikan keyakinan pada tahap terbaik menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini.

Pelumba berusia 23 tahun tersebut menamatkan ujian selama tiga hari itu di tangga ke-16 selepas merekodkan catatan terpantas satu minit 40.435 saat (s) dan hanya ketinggalan 1.461s berbanding pelumba Movistar Yamaha, Maverick Vinales (1’38.974s).

Oleh itu, Hafizh mengakui ketika ini dia lebih yakin untuk beraksi dengan lebih baik memandangkan sesi ujian tersebut dia telah mencuba beberapa pelarasan baharu terhadap jentera YZR-M1.

“Sesi ujian tersebut baik kerana ketika ini saya semakin serasi dengan jentera ini selepas mencuba beberapa perkara baharu di Montmelo, Sepanyol yang mampu menambahkan lagi keyakinan saya menjelang saingan seterusnya di Itali nanti.

“Saya akui Litar Mugello, Itali sangat besar dan ini kali pertama saya beraksi menggunakan jentera MotoGP. Oleh itu, saya akan cuba memahami litar ini secepat mungkin.

“Kami tahu litar ini berkelajuan tinggi dan kami akan me­lakukan persiapan seawal sesi latihan bebas pertama lagi dan cuba merapatkan masa dengan kedudukan teratas pada setiap sesi.

“Saya telah melakukan persiapan terutama terhadap fizikal untuk memantapkan stamina pada tahap maksimum. Saya bekerja keras untuk memberi saingan kepada pelumba dalam kelas perdana ini. Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hafizh yang menduduki tangga kedua dalam carta pelumba baharu MotoGP (rookie) mengakui, Franco Morbidelli mempunyai kelebihan untuk tampil lebih baik memandangkan beraksi di laman sendiri. Hafizh kini menghuni tangga ke-17 selepas mengumpul 13 mata dan hanya dibezakan dua mata dengan Morbidelli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN