KUALA LUMPUR 24 Mei – Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mendapatkan khimat nasihat daripada peguamnya berhubung kes 1MDB yang ditujukan kepadanya.
Ujarnya, dia menyertai syarikat tersebut bukanlah untuk mencipta atau menambah masalah sebaliknya mahu membantu menyelesaikan masalah yang telah terjadi.
“Semua salah laku seperti yang tertera dalam Laporan PAC 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara dan juga saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) sebenarnya telah dilakukan oleh pengurusan dan lembaga yang terdahulu sebelum saya menyertai syarikat ini.
“Perkara ini tidak boleh dipertikaikan kerana saya hanya menyertai 1MDB bermula Januari 2015. Jadi, segala siasatan yang dilakukan hanya dikemas kini dan fokus saya ketika itu adalah untuk merasionalisasi perniagaan syarikat.
“Jadi memandangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang baharu membuat persepsi kononnya semua pihak yang terlibat dalam 1MDB pada punca kemuflisan syarikat tersebut, saya harus tampil mengeluarkan kenyataan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya lagi, kenyataan itu juga dikeluarkan atas kapasiti peribadi dan bukannya dalam kapasiti sebagai Presiden 1MDB atau apa-apa jawatan yang berhubung dengan pekerjaan saya di 1MDB.
Semalam, Guan Eng mendedahkan, 1MDB tidak pernah membayar langsung hutang pinjamannya, sebaliknya dibayar oleh Kementerian Kewangan sejak April 2017 yang sudah berjumlah RM6.98 bilion setakat ini.
Arul Kanda menegaskan, adalah tidak adil bagi Guan Eng untuk mengeluarkan kenyataan awam yang tidak penuh dan tepat seperti mana soalan-soalan itu diajukan dan telah dijawab.
“Lebih penting lagi, saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut ke atas saya dan saya juga telah mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam saya berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











