Green Falcons bukan pelengkap jadual - Utusan Malaysia

Green Falcons bukan pelengkap jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAB Saudi kembali membuat penampilan di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 2006 yang mana Green Falcons yang mana misi mereka di Rusia pada Jun ini bukan sekadar pelengkap jadual.

Kejayaan mara ke pusingan kalah mati pada edisi 1994 di Amerika Syarikat hasil kemenangan 1-0 ke atas Belgium menerusi gol tunggal Saeed Al Owairan pastinya menjadi tonik dan suntikan moral cukup bermakna buat pasukan tersebut pada edisi kali ini.

Green Falcons yang diundi bersama pasukan tuan rumah, Rusia, Uruguay dan Mesir dalam Kumpulan A menggalas harapan besar para penyokong yang mahu menyaksikan mereka sekurang-kurang mampu melakar pencapaian yang sama ketika dilakukan pada 1994.

Bagaimanapun, pemerhati menganggap laluan Arab Saudi tidak begitu mudah memandangkan Rusia dan Uruguay tampil sebagai pasukan pilihan untuk melepasi Kumpulan A.

Ini kerana berdasarkan keputusan Arab Saudi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dilihat begitu mengecewakan termasuk mereka tersingkir awal daripada kejohanan Gulf Cup 2018 pada Disember lalu.

Selain itu, Green Falcons hanya memenangi satu daripada empat perlawanan pemanas badan untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Kemenangan 3-0 ke atas Moldova dibayangi dengan tiga kekalahan buruk iaitu tewas 1-4 kepada Iraq, Ukraine (1-1) dan kalah 0-4 kepada Belgium pada Mac lalu sekali gus Arab Saudi perlu bekerja keras untuk melakukan sesuatu di pentas Piala Dunia 2018.

Namun jurulatihnya, Juan Antonio Pizzi kekal tenang dengan memberitahu, beliau percaya dengan kebolehan anak-anak buahnya dalam usaha melakarkan kejutan dalam aksi Kumpulan A kali ini.

Lebih tepat, Pizzi menegaskan Arab Saudi akan berjuang habis-habisan dan menganggap penampilan Green Falcons bukanlah sekadar menjadi pelengkap jadual Piala Dunia 2018.

“Arab Saudi tidak berdepan laluan mudah tetapi saya percaya setiap pasukan yang bertanding di Piala Dunia 2018 memiliki masalah yang sama seperti kami.

“Ini kerana setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 memiliki kualiti tersendiri, sama seperti kami dan sudah pasti Arab Saudi tidak mahu pulang awal dari Rusia kali ini.

“Saya tidak mahu cepat melatah di sebalik persiapan kami yang mana persembahan kami dikritik hebat. Ini kerana saya percaya dengan kekuatan anak-anak buah saya untuk melakukan sesuatu di Rusia nanti.

“Kami perlu kekal fokus dan memberikan tumpuan satu demi satu perlawanan. Siapakah pasukan pilihan Kumpulan A? Saya tidak berminat tahu kerana saya hanya mahu memberikan perhatian kepada pasukan saya sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN