PIALA DUNIA Mexico sentiasa dikenang dengan insiden gol tangan Diego Maradona yang diberi gelaran ‘Tangan Tuhan’ selepas legenda Argentina itu menjaringkan gol menggunakan tangan kiri, sekali gus memahat kontroversi terbesar dalam sejarah bola sepak.
Gol tersebut dihasilkan Maradona ketika menumpaskan England 2-1 di suku akhir, dan bekas penyerang Napoli itu sekali lagi memukau peminat apabila menggelecek lima pemain lawan sebelum menjaringkan gol kedua, berselang lima minit.
Walaupun Maradona jelas menyentuh bola, namun gara-gara tidak melihat insiden tersebut pengadil perlawanan, Ali Nasser mengiktiraf jaringan itu.
Bekas pertahanan Three Lions, Terry Fenwick dan rakannya, Glenn Hoddle mengejar Ali untuk membuat bantahan namun pengadil tidak berpengalaman dari Tunisia itu memekakkan telinganya.
Maradona menyifatkan gol tersebut diperoleh hasil sedikit sentuhan tangannya dan dibantu sentuhan tuhan.
“Saya menunggu rakan sepasukan untuk memeluk saya namun tiada sesiapa pun menghampiri saya…saya beritahu mereka,’Mari peluk saya atau pengadil tidak membenarkan jaringan itu,” kata Maradona.
Ketika insiden itu berlaku, Ali berada berhampiran kotak penalti England dan terdapat teori mengatakan dia tidak dapat melihat jaringan dengan jelas kerana pemandangannya dihalang penjaga gol Three Lions, Peter Shilton.
Bagaimanapun penjaga garisan, Bogdan Dotchev yang dapat melihat dengan lebih jelas sepatutnya memberitahu perkara sebenar. Keadaan menjadi rumit apabila Ali dan Dotchev menyalahkan satu sama lain.
Dalam perlawanan akhir, Maradona dikawal ketat oleh pertahanan Jerman Barat, Lothar Matthaeus menyebabkan dia sukar untuk bergerak.
Argentina bagaimanapun masih mampu merangkul kejuaraan selepas jaringan Jose Luis Brown, Jorge Valdano serta Jorge Burruchaga memastikan mereka menang 3-2.











