PARIS – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memuji penyerangnya, Olivier Giroud apabila menyamai rekod jaringan legenda, Zinedine Zidane menjelang pusingan akhir Piala Dunia di Rusia Jun ini.
Penyerang Chelsea itu meledak gol ke-31 bersama Les Bleus apabila menyumbangkan satu gol ketika membantu Perancis menewaskan Republik Ireland 2-0 pada aksi persahabatan di Stade de France awal pagi semalam.
Justeru, Deschamps berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan Giroud meskipun pernah dikritik hebat sebelum ini gara-gara corak permainan ditampilkan olehnya.
“Menerusi jumlah gol yang dijaringkan, ini bermakna dia (Giroud) sentiasa menampilkan aksi konsisten bersama Perancis. Itulah yang kita mahukan daripada seorang penyerang.
“Bagi saya, dia sudah berada pada kemuncak karier. Walaupun Giroud sering dikritik gara-gara gaya permainannya, namun sumbangannya kepada Perancis cukup besar,” kata Deschamps.
Dalam pada itu, aksi menarik yang ditampilkan pemain tengah, Corentin Tolisso pada perlawanan tersebut turut menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan pemain Manchester United, Paul Pogba dalam pasukan tersebut.
“Dia (Tolisso) menampilkan corak permainan yang bagus dan ia memberi kelebihan kepada kami, jadi saya perlu buat keputusan bijak selepas ini. Saya juga memiliki banyak pilihan pada posisi tengah,” ujarnya. – Agensi










