Gembira dapat baju Chong Wei - Utusan Malaysia

Gembira dapat baju Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 22 Mei – Walaupun pasukannya menjadi ‘lauk’ dalam penampilan sulung Piala Thomas di Bangkok, namun pemain Algeria, Adel Hamek gembira kerana akhirnya dapat bertemu idolanya, Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei juga telah berjanji kepadanya akan memberikan baju yang ditandatangani oleh­nya apabila kejohanan ini berakhir, pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh Adel, 25.

“Terima kasih kepada anda (media Malaysia) kerana me­nyampaikan hasrat saya kepada Chong Wei. Ya, saya sudah bertemu dengannya dan dia kata akan beri baju dengan tandatangannya kepada saya nanti.

“Ini adalah pengalaman yang cukup menyeronokkan, selain dapat beraksi menentang pemain-pemain terbaik dunia,” kata pemain kelahiran Perancis itu yang beraksi sebagai perseorangan ketiga dan beregu ke­dua negaranya.

Algeria yang menjadi negara Arab pertama beraksi dalam Piala Thomas hanya membawa enam pemain ke Bangkok, bermakna kebanyakan mereka perlu bergilir untuk beraksi dalam acara perseorangan dan beregu.

Semalam, Algeria memulakan kempen Kumpulan D dengan dibelasah 5-0 oleh Denmark, sebelum kalah 5-0 kepada Malaysia dalam perlawanan kedua hari ini, sekali gus gagal ke suku akhir.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui berkata, dia sudahpun bertemu Adel dan berbual dengan pemain itu, malangnya tidak membawa baju tambahan ketika mereka bertemu.

“Sudah tentu saya akan beri baju saya nanti. Kami ada berjumpa dan berbual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN