PEMAIN Uruguay. Diego Forlan memenangi anugerah Pemain Terbaik Piala Dunia 2010 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen berprestij itu dengan jaringan yang luar biasa malah turut membantu pasukannya muncul satu-satunya wakil Amerika Selatan ke saingan separuh akhir.
Kecemerlangan Forlan juga membolehkan dia mendapat undian tertinggi untuk anugerah Bola Emas yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hasil undian wartawan.
Menerusi undian tersebut Forlan meraih 23.4 peratus manakala tempat kedua Wesley Sneijder dari Belanda dengan 21.8 peratus manakala pemain Sepanyol, David Villa di tempat ketiga dengan 16.9 peratus undian.
Ketiga-tiga mereka menjaringkan lima gol sekali gus membolehkan Forlan, Sneijder dan Villa muncul penjaring terbanyak bersama Piala Dunia 2010 begitu juga pemain Jerman, Thomas Mueller.
Antara kecemerlangan Forlan yang membolehkan dia menjadi watak penting Piala Dunia 2010 ialah membantu Uruguay menewaskan Perancis, Afrika Selatan dan Mexico untuk berada di tangga teratas Kumpulan A.
Forlan menggerakkan pasukannya untuk menyingkirkan Korea Selatan dan Ghana dalam aksi kalah mati, malah ketika saingan tersebut beberapa jaringan pemain Uruguay itu sering mencuri tumpuan lensa kamera kerana diraih penuh bergaya.











