MANILA 29 Mei – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte didakwa sudah bersedia untuk berperang dengan China jika Beijing bertindak melampaui batas dan unilateral dalam menuntut sumber alam di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara di Laut China Selatan.
Portal berita RT yang memetik kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Alan Peter Cayetano sebagai berkata, Filipina akan berperang untuk melindungi haknya di Laut China Selatan, perkara yang bercanggah dengan dasar Duterte yang mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jirannya.
“Jika ada pihak yang mengambil sumber alam di Laut Filipina Barat, beliau (Duterte) akan berperang.
“Beliau berkata, `Bahala na.’ (bermakna apa yang mungkin) (Tetapi) beliau akan berperang,” ulang Cayetano dengan menekankan `sempadan’ di tengah-tengah pertikaian wilayah ketika Beijing berterusan mengabaikan keputusan mahkamah timbang tara antarabangsa 2016 yang menyatakan tidak ada asas perundangan bagi China menuntut hak bersejarah di Laut China Selatan.
Tuntutan Manila termasuk sebarang pembinaan China di pulau buatan mereka di Beting Scarborough atau sebarang usaha untuk memindahkan kapal perang Filipina, BRP Sierra Madre dari Beting Second Thomas di kawasan pertikaian di Kepulauan Spratly.
“Tuntutan lain adalah tidak ada pihak yang akan mendapat sumber asli secara bersendirian.
“Tentera kami tidak harus diganggu semasa mereka menghantar bekalan atau semasa mereka memperbaiki landasan kapal terbang di Pulau Thitu dekat Spratly,” kata Cayetano.
Dalam perkembangan berasingan, tentera China mengumumkan mereka telah mengerah kapal perang mereka bagi mencabar kapal perang tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang berlayar di perairan Laut China Selatan.
Menurut kenyataan dimuat naik di portal kementerian pertahanan China yang dipetik Straits Times, kapal perang China bertembung dengan kapal AS dan mengarahkan mereka untuk beredar dengan butiran lanjut kejadian itu masih lagi tidak jelas.










