IPOH 21 Mei – Beberapa wakil rakyat muda yang pertama kali dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri semalam, menyatakan hasrat untuk menggalas amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing, 36, berkata, langkah pertama yang harus dilaksana ialah melihat dengan teliti rancangan untuk merencanakan manifesto Pakatan Harapan.
“Itu perkara pertama yang kita harus usahakan melibatkan tindakan jangka panjang dan pendek dalam kerangka lima tahun ini, jadi saya akan cuba melakukan sebaik yang mungkin.
“Saya sememangnya tidak jangka dilantik sebagai Exco, namun saya merasa bersyukur kerana parti memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, 35, pula merasa syukur atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, parti serta perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan lantikannya sebagai Exco merupakan satu peluang untuk membawa kebaikan kepada rakyat.
“Harapan rakyat terhadap kerajaan baharu di peringkat negeri Perak mahupun nasional, amat tinggi. Oleh itu, saya rasa amat bertuah diberikan amanah dan peluang untuk membuktikan kepada semua bahawa Pakatan Harapan mampu membawa pentadbiran lebih unggul demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.
ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim, 38, yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pula berkata, beliau menerima tanggungjawab yang diamanahkan dan berhasrat untuk melaksanakannya dengan seadil-adilnya demi rakyat.
“Setelah diperkenankan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas nasihat Menteri Besar, saya dilantik untuk mengisi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan doa berterusan kepada saya,” katanya.










