Apa yang pada awalnya sekadar membantu menghasilkan dekorasi Hari Raya di tempat kerja akhirnya mencetuskan minat Nurshahirah Jafri, 23, terhadap seni lukisan di atas permukaan cermin.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dari Ipoh, Perak itu kini aktif menghasilkan seni lukis di atas permukaan cermin yang bukan sahaja mencantikkan ruang, malah menjadi medium untuk mengekspresikan kreativiti dan mencari ketenangan selepas menjalani rutin harian.
Kini sedang menjalani kontrak sebagai protege dalam bidang pengurusan data, Nurshahirah menganggap aktiviti melukis sebagai cara terbaik untuk mengimbangi rutin kerja harian.
Minatnya bermula sekitar April 2026 apabila diberi peluang untuk menghasilkan lukisan pada cermin untuk beberapa acara di tempat kerja.
Daripada pengalaman itu, dia mula melihat potensi cermin sebagai medium seni yang unik dan berbeza daripada kanvas atau permukaan lukisan lain.

“Cermin bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi boleh dijadikan karya seni yang mempunyai nilai estetik tersendiri. Walaupun ramai menghasilkan lukisan di atas cermin, setiap karya tetap mempunyai identiti dan sentuhan kreatif yang berbeza,” katanya kepada Seri.
Inspirasi dari Pinterest dan TikTok
Minat Nurshahirah terhadap seni dan kreativiti sebenarnya telah berputik sejak kecil.
Ketika di bangku sekolah, dia gemar menghasilkan jurnal, buku skrap, melukis kartun, bunga-bungaan serta mencuba pelbagai gaya tulisan.
Selain itu, dia juga gemar menghias kerana tertarik kepada sesuatu yang kemas, cantik dan mempunyai nilai estetika.
Minat itu kemudiannya berkembang kepada seni lukisan di atas permukaan cermin selepas sering melihat pelbagai hasil karya kreatif di Pinterest dan TikTok.
Penggunaan cermin sebagai elemen dekorasi dalam pelbagai majlis dan ruang hiasan turut menarik perhatiannya terhadap potensi seni tersebut.
“Saya kagum melihat bagaimana sebuah cermin biasa boleh diubah menjadi karya seni yang menarik melalui gabungan warna, corak dan kreativiti,” katanya.

Nurshahirah berkata, dia mempelajari seni lukisan di atas permukaan cermin secara sendiri dengan menjadikan Pinterest sebagai sumber utama untuk mendapatkan inspirasi dan idea.
Menurutnya, asas seni lukisan di atas permukaan cermin boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat, namun menghasilkan karya yang mempunyai identiti tersendiri memerlukan latihan dan eksplorasi yang berterusan.
Cabaran
Karya pertama yang dihasilkan Nurshahirah merupakan lukisan bertemakan Hari Raya dengan elemen bunga dan tulisan ringkas.
Walaupun reka bentuknya sederhana, karya tersebut menjadi titik permulaan yang memberikan keyakinan kepadanya untuk terus mendalami dunia seni lukisan di atas permukaan cermin.
“Saya sangat teruja apabila berjaya menyiapkannya. Lebih istimewa apabila karya itu dipamerkan dan dapat dilihat oleh ramai orang,” katanya.
Namun, menghasilkan seni di atas permukaan cermin bukanlah sesuatu yang mudah.
Menurutnya, permukaan cermin yang licin merupakan cabaran utama kerana memerlukan kawalan tangan yang baik bagi memastikan setiap lukisan kelihatan kemas.
Selain itu, pemilihan jenis cat dan bahan yang sesuai juga penting bagi memastikan hasil lukisan lebih tahan lama.

Proses menghasilkan sesebuah karya biasanya bermula dengan membuat lakaran di atas kertas sebelum dipindahkan ke permukaan cermin menggunakan pen marker putih sebagai lakaran.
Lakaran itu kemudian diwarnakan mengikut tema yang dipilih sebelum dibiarkan kering sepenuhnya.
Sebagai kemasan akhir, lapisan varnish disapu bagi melindungi karya daripada calar dan kelembapan.
Dia lebih gemar menggunakan acrylic marker brush kerana lebih mudah dikendalikan dan mampu menghasilkan lukisan yang kemas.
Tempoh menyiapkan satu karya pula bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan reka bentuk.
Cermin bersaiz kecil biasanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga hari untuk disiapkan, manakala karya yang lebih besar boleh mengambil masa sehingga seminggu atau lebih.
“Saya lebih suka melukis pada waktu malam kerana suasananya lebih tenang dan saya dapat memberi fokus sepenuhnya selepas selesai urusan kerja,” katanya.
Kekemasan jadi keutamaan
Bagi Nurshahirah, menghasilkan kesan campuran warna atau blending merupakan antara bahagian paling mencabar kerana sifat permukaan cermin yang berbeza daripada kanvas.
Justeru, dia sentiasa mengutamakan aspek kekemasan, keseimbangan reka bentuk dan pemilihan warna agar setiap karya kelihatan menarik serta harmoni.
Inspirasi untuk menghasilkan rekaan baharu pula banyak diperoleh daripada Pinterest, trend semasa dan keindahan alam semula jadi, khususnya bunga-bungaan.
Dia juga gemar menghasilkan karakter kartun yang comel kerana mencerminkan minat dan personalitinya.

“Kalau ada identiti yang menggambarkan karya saya, mungkin elemen comel itu sendiri. Saya suka menghasilkan karakter kartun, bunga-bungaan dan menggunakan warna-warna lembut serta ceria,” jelasnya.
Nurshahirah juga sentiasa terbuka untuk bereksperimen dengan warna, teknik dan konsep baharu bagi meningkatkan kreativiti.
Seperti penggiat seni yang lain, dia juga pernah menghasilkan karya yang tidak menjadi seperti yang dirancang.
Apabila berdepan situasi itu, dia akan berehat seketika sebelum menilai semula hasil tersebut dan membuat penambahbaikan.
“Ada masanya saya akan memadam dan melukis semula bahagian tertentu sehingga memperoleh hasil yang benar-benar memuaskan,” katanya.
Idea jadi realiti
Perkara paling menyeronokkan bagi Nurshahirah apabila dia melihat cermin kosong berubah menjadi karya seni yang mempunyai identiti tersendiri.
Kepuasan terbesar hadir apabila idea yang sebelum ini hanya berada dalam imaginasi berjaya diterjemahkan menjadi sebuah karya yang nyata.
Lebih daripada sekadar hobi, seni lukis di atas permukaan cermin juga memberi kesan positif terhadap emosinya.
“Melukis memberi ruang untuk saya berehat daripada rutin harian, meningkatkan fokus dan memberikan ketenangan selepas seharian bekerja. Ia bukan sekadar hobi, tetapi juga cara saya meluahkan kreativiti dan menikmati masa untuk diri sendiri,” katanya.

Dia turut berasa gembira apabila hasil karyanya dipamerkan di rumah atau dijadikan sebahagian daripada dekorasi kerana mampu menceriakan sesuatu ruang.
Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan menjadi antara faktor utama yang mendorongnya untuk terus berkarya.
Selain memberi semangat, mereka juga sering berkongsi idea baharu yang membantu memperkayakan hasil lukisannya.
Nurshahirah turut berkongsi hasil karya melalui media sosial dan mengakui bahawa maklum balas positif yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan kemahirannya.
Impian miliki jenama sendiri
Melihat perkembangan dirinya dalam dunia seni ini, Nurshahirah berharap dapat terus mengembangkan kemahiran serta meneroka lebih banyak teknik dan gaya baharu.
Dalam masa yang sama, dia turut memasang impian untuk memiliki jenama sendiri yang bukan sahaja menghasilkan lukisan cermin, malah pelbagai produk hadiah peribadi berasaskan seni.
Selain itu, dia berharap seni lukisan di atas permukaan cermin ini terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan tidak hilang ditelan arus peredaran zaman.










