DALAM dunia yang semakin dipengaruhi teknologi, kita dapat melihat satu perubahan besar yang semakin ketara dalam institusi keluarga hari ini.
Peranan teknologi dalam kehidupan anak-anak semakin meningkat, manakala pengaruh ibu bapa dalam membentuk keperibadian, nilai dan corak pemikiran mereka berdepan cabaran baharu.
Situasi ini dapat dilihat apabila ada ibu bapa yang berasa kecewa apabila anak remaja mula menjawab teguran dengan nada kasar atau menunjukkan sikap kurang peduli ketika bersama keluarga kerana terlalu leka dengan telefon pintar.
Keadaan ini bukan sekadar isu penggunaan teknologi tetapi mencerminkan perubahan besar dalam cara keluarga berkomunikasi dan membina hubungan.
Generasi Alpha, iaitu mereka yang lahir sekitar 2010 hingga 2024, membesar sepenuhnya dalam era digital. Telefon pintar, tablet, komputer riba, jam pintar dan pelbagai peranti teknologi bukan lagi sekadar alat tetapi menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan mereka sejak kecil.
Berbeza dengan generasi terdahulu, Generasi Alpha menerima maklumat bukan hanya daripada ibu bapa atau guru tetapi juga daripada dunia digital yang sentiasa tersedia di hujung jari.
Kecerdasan buatan (AI), enjin carian dan pelbagai platform interaktif kini menjadi sumber rujukan utama mereka dalam mencari jawapan serta memahami dunia sekeliling.
Di sinilah cabaran komunikasi keluarga mula muncul apabila autoriti ibu bapa semakin diuji.
Di sekolah, pelajar mungkin menyemak semula maklumat yang disampaikan guru melalui Google atau AI. Di rumah pula, mereka turut membandingkan nasihat dan pandangan ibu bapa dengan pelbagai maklumat yang diperoleh daripada internet.
Namun, kita juga perlu melihat isu ini secara adil. Cabaran komunikasi dalam keluarga bukan hanya berpunca daripada anak-anak yang terlalu bergantung kepada skrin.
Dalam banyak keadaan, ibu bapa sendiri turut berdepan masalah sama apabila terlalu sibuk dengan telefon, media sosial atau kandungan digital sehingga mengurangkan masa berinteraksi dengan anak-anak.
Menurut Albert Bandura melalui Teori Pembelajaran Sosial, kanak-kanak belajar bukan hanya melalui arahan dan teguran tetapi melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang di sekeliling mereka, khususnya ibu bapa. Apa yang mereka lihat setiap hari akan membentuk cara mereka memahami hubungan, komunikasi dan nilai kehidupan.
Jika anak-anak membesar dalam suasana di mana ibu bapa sentiasa menghadap skrin, kurang berbual, mudah marah atau berkomunikasi tanpa empati, mereka mungkin menganggap corak tersebut sebagai norma dalam kehidupan.
Sebaliknya, jika mereka melihat ibu bapa menghargai perbualan, mendengar dengan baik dan menunjukkan rasa hormat, nilai itu juga akan menjadi sebahagian daripada pembentukan diri mereka.
Sebagai generasi digital, Generasi Alpha mempunyai cara pemikiran dan pendekatan komunikasi yang berbeza. Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak semakin tinggi, dengan sebahagian daripada mereka menghabiskan masa yang panjang dalam talian setiap hari.
Oleh itu, pendekatan mendidik Generasi Alpha tidak boleh hanya bergantung kepada larangan atau hukuman. Mereka memerlukan bimbingan, contoh yang baik dan kehadiran emosi daripada ibu bapa. Persoalannya bukan semata-mata bagaimana untuk menjauhkan anak-anak daripada teknologi, tetapi bagaimana memastikan mereka menggunakan teknologi dengan bijak.
Hakikatnya, cabaran Generasi Alpha bukan hanya berkaitan teknologi tetapi berkaitan kekuatan institusi keluarga itu sendiri.
Dalam dunia yang dipenuhi pelbagai suara dan maklumat, rumah seharusnya menjadi tempat pertama yang memberikan panduan, nilai dan rasa selamat kepada anak-anak.
Jika komunikasi dalam keluarga semakin hilang, kita bukan sahaja berdepan krisis hubungan tetapi berisiko kehilangan asas penting dalam membentuk generasi masa hadapan.-UTUSAN
DR. NADIAH ABDUL AZIZ
Pensyarah Kanan,
Komunikasi dan Perhubungan Awam,
Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology










