TESIS merupakan satu kajian ilmiah untuk menyokong seseorang graduan itu mendapatkan segulung ijazah.
Pada kebiasaannya, penulisan tesis sangat berat untuk dibaca dan perbincangannya hanya dalam kalangan golongan akademik di peringkat universiti.
Bagaimanapun, tesis yang sarat dengan mesej perlu dikongsikan bersama masyarakat.
Bertitik tolak daripada itu, Melur Jelita atau nama sebenarnya Nor Laili Salleh, 50, menghasilkan novel tarbiah kembara aksi cinta untuk menarik minat pembaca menyelami pengalamannya menyertai misi kemanusiaan di Kemboja pada tahun 1993.
“Novel I Love You Stupid adalah olahan daripada tesis saya yang bertajuk Pengaruh dan Peranan Melayu dalam Perkembangan Islam di Kemboja semasa belajar di Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya sebelum bergraduasi pada tahun 1993.
“Pengalaman saya semasa berada di Kemboja sangat berharga dan saya mahu ia dikongsi bersama masyarakat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Kelantan itu, watak-watak dicipta bagi menterjemahkan apa yang dilihat semasa menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Melayu Cham membangunkan pendidikan serta taraf hidup mereka di Kemboja.
Ujarnya, etnik Melayu Cham yang berasal dari Champa telah hilang dalam lipatan sejarah dan tidak lagi dikenali oleh dunia.
Atas dorongan daripada suami yang tidak mahu ilmunya sebagai bekas pensyarah terkubur, naskhah I Love You Stupid berjaya disiap dan diterbitkan pada tahun 2012 selepas mengambil masa lima bulan untuk menulis.
Bagaimanapun, karya setebal 1,900 muka surat itu banyak dicantas dan penceritaan seakan-akan tidak lengkap.
Versi penuh
Atas permintaan peminat dan ketidaktenteraman hati kerana ceritanya seolah-olah tidak lengkap, Melur Jelita kemudian menghasilkan versi penuh luahan hati Melayu Cham menerusi novel I Love You Stupid Extended Version Volume 1 dan I Love You Stupid Extended Version Volume 2.
Dua novel yang dihasilkan serentak dan merupakan karyanya yang kelapan serta kesembilan itu berjaya dicetak pada Mac lalu.
Tambah bekas pensyarah di Yayasan Pelajaran Mara yang kini dikenali sebagai Kolej Poly-Tech Mara itu, karya yang dihasilkannya berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan kaum walaupun dia pada asalnya menyasarkan golongan remaja.
Mengulas lanjut, anak ketiga daripada enam adik-beradik itu berkata, dia tidak menghadapi cabaran yang besar semasa menulis naskhah I Love You Stupid kerana jalan penceritaannya sudah ada dalam benak fikiran dan pengalaman di Kemboja itu dialaminya sendiri.
Namun, ibu kepada dua orang puteri itu mempunyai harapan yang besar untuk karya tersebut.
“Saya mahu novel ini dibaca oleh segenap lapisan masyarakat dan terus tersebar walaupun setelah saya tiada kelak.
“Generasi muda hari ini perlu tahu tentang erti kehilangan sebuah negara dan bangsa agar mereka lebih menghargai serta mencintai negara sendiri,” tuturnya yang terpilih menerima anugerah Novelis Terbaik Anugerah Buku Negara pada tahun 2016.
Tajuk: Memori Seorang Jeneral Mohd. Ghazali Haji Che Mat
Penulis: Wan Hashim dan Jessica Ong
Penerbit: UPNM
Muka Surat: 178
Harga: RM60
DUA peristiwa yang berlaku pada Zaman Perang Dunia Kedua mendorong anak muda yang berasal dari Lenggong, Perak ini untuk menyertai Angkatan Tentera.
Pertama, patriotisme yang diterapkan semasa di bawah pemerintahan Jepun dan kedua, keg










