MATA Thomas Stasch tertancap tepat pada monitor komputer di hadapannya.
Dia menggerakkan tetikus berwarna hitam ke kiri dan kanan bagi menentukan pergerakan kursor pada paparan komputer itu.
Menggunakan peranti input bersaiz kecil itu sebagai senjata, Stasch berjaya menggodam masuk ke sistem perumahan seorang penduduk selepas pengguna itu tidak meletakkan sebarang kata kunci keselamatan.
Hanya dengan sekali klik pada tetikus itu, dia mampu melakukan apa sahaja termasuk menyebabkan pemilik rumah duduk dalam keadaan gelap apabila lampu rumah tersebut ditutup.
Namun, Stasch tidak berhasrat untuk melakukan perkara itu kerana dia mahu menyelesaikan satu misi pada hari tersebut.
Stasch berhasrat untuk memberi kesedaran kepada penduduk di Bonn, Jerman tentang betapa longgarnya sistem keselamatan peranti digital mereka sehingga memudahkan kaki godam menceroboh privasi walaupun dari jarak jauh.
Kelemahan
Menurut Stasch, antara medium sistem digital yang sering digunakan oleh penggodam ialah melalui peranti yang kawalan internet seperti lif, alat monitor bayi dan pemanas ruang rumah.
“Hidup pada zaman berteknologi ini memang menyeronokkan dan memudahkan urusan harian kita.
“Namun, di sebalik kemudahan itu, dunia digital juga memiliki kelemahan dan sangat membahayakan jika tidak dikawal,” katanya ketika berucap dalam satu persidangan di Bonn baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Stasch turut memberi amaran mengenai masalah besar yang bakal dihadapi penduduk jika tiada kesedaran mengenai pemeliharaan keselamatan peranti digital.
“Dunia siber ini dihubungkan melalui satu saluran. Justeru, apabila sistem pemanas anda digodam, penggodam akan mengetahui mengenai segala maklumat peribadi anda termasuk cukai, faedah kebajikan dan denda letak kereta.
“Bayangkan jika peranti anda masih tidak diletakkan kunci keselamatan, tidak mustahil dalam masa yang singkat ini, anda akan menjadi mangsa rompakan atau tebusan untuk mendapatkan wang,” katanya yang menyifatkan serangan siber sebagai bencana kepada dunia.
Sementara itu, seorang penduduk Britain, Pau Argyle menggesa Datuk Bandar Manchester, England untuk berkongsi secara terbuka kepada umum mengenai serangan siber yang pernah mereka lalui.
Operasi hospital di bandar raya itu pernah terjejas teruk ekoran serangan ransomware yang dikenali sebagai virus WannaCry yang turut melumpuhkan beberapa bank serta syarikat di seluruh dunia.
“Kita perlu menerima kenyataan bahawa sistem digital di bandar ini tidak dilengkapi dengan kawalan keselamatan yang secukupnya sehingga membolehkan perkara itu terjadi.
“Tiada salahnya mengakui bahawa kami gagal mempertahankan sistem kawalan di bandar ini.
“Kita perlu berkongsi pengalaman itu agar dapat memberi kesedaran kepada bandar lain di luar sana,” seru Argyle dalam satu perhimpunan digital di Manchester baru-baru ini.
Tambah Argyle, untuk menjadikan Manchester sebagai sebuah bandar pintar, konvensyen antarabangsa seperti Perjanjian Iklim Paris perlu mewujudkan satu piawaian sejagat mengenai keselamatan siber global.
Lantaran itu, pada 25 Mei ini, Kesatuan Eropah bakal menguatkuasakan Peraturan Perlindungan Data Umum sebagai solusi kepada permasalahan tersebut.
Garis panduan
Pakar menyifatkan peraturan itu sebagai tindakan memelihara privasi terbesar selepas kewujudan internet di dunia ini.
Ia memberi garis panduan kepada orang ramai mengenai cara-cara mengawal data peribadi mereka.
Selain itu, ia juga menerangkan mengenai prosedur menyemak dan tindakan yang perlu diambil bagi melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pelanggaran mahupun pencerobohan data peribadi dalam masa 72 jam.
Pengurus Program Bandar Pintar ICLEI iaitu sebuah rangkaian global yang membantu kerajaan tempatan mengenai kawalan keselamatan siber, Rom Mendle berkata, teknologi bukanlah masalah utama.
“Teknologi digital berupaya meningkatkan ekonomi bandar termasuk membolehkan sistem pengurusan air dan proses bancian penduduk berjalan lancar.
“Malangnya, manusia didalangi dengan sifat tamak dan tidak beretika sehingga sanggup menggunakan teknologi ke jalan yang tidak sepatutnya,” katanya yang bersetuju dengan peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah. – Reuters










