KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu memastikan gelombang biru tidak terhenti begitu sahaja selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, gelombang itu dilihat semakin jelas susulan sokongan rakyat terhadap BN sekaligus, parti itu perlu mengatur strategi bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU)-16.
“Kita mesti pulang dengan semangat yang lebih besar dan jiwa kita mesti menang kerana kita dah nampak gelomban biru, jadi tugas kita nak memastikan ia tidak terhenti dan perlu dibawa di Melaka untuk dibesarkan dan dikuatkan.
“Jadi bila gelombang biru semakin kuat kepercayaannya, ini bermakna semakin besar kemenangan buat BN,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Menurut Noraini, kekuatan yang dibawa di Melaka itu pula perlu diteruskan pada PRU16 akan datang.
“Kita tidak boleh tunggu untuk menggerakkan gelombang ini, kita perlu bawa balik semangat dan keyakinan terhadap cawangan, kuatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan ada sesetengah PDM yang sudah kuat.
“Oleh itu, kita perlu yakinkan parti, bila tiba masanya kita turun PRN, kita akan turun dengan tekad bahawa apa yang berlaku di Melaka tidak akan terhenti di Melaka.
“Kerana keputusan seterusnya akan beri kesan kepada PRU akan datang,” katanya.










