RANAU 17 Mei – Empat maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah kereta jenis Proton Saga terbabit dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspress di Kilometer 56 Jalan Ranau – Telupid, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, bas tersebut dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna membawa 29 orang penumpang bertembung dengan Proton Saga terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian dengan menggunakan dua buah jentera.
“Sejurus tiba dilokasi, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit seterusnya melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
“Empat mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian manakala dua lagi mangsa yang berada dalam kereta Proton Saga cedera dan dikejarkan ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Operasi tamat pada pukul 4 petang. – UTUSAN ONLINE










