PARIS 23 Mei – Bekas pengurus Paris St Germain (PSG) dan Sevilla, Unai Emery dilihat sebagai calon sesuai buat Arsenal bagi menggantikan Arsene Wenger terutama dalam misi menghadapi kempen Liga Europa, musim depan.
Jurulatih warga Sepanyol yang berusia 46 tahun itu dikatakan akan menyertai Arsenal pada minggu ini.
Pencapaian Emery membantu Sevilla meraih tiga gelaran Liga Europa dari 2014 hingga 2016 menjadi faktor utama Arsenal berminat terhadap jurulatih tersebut.
Komitmen Emery terhadap bola sepak turut menambah keyakinan The Gunners untuk memilih pengendali tersebut sebagai pengganti Wenger.
Bekas pemain sayap Sepanyol, Joaquin yang pernah bersama Emery di Valencia memberitahu bahawa jurulatih tersebut seorang yang obses dengan bola sepak.
“Bagi saya dia adalah salah seorang pengurus terbaik yang pernah membimbing saya.
“Saya berada di bawah bimbingannya selama tiga tahun dan sepanjang tempoh tersebut Emery telah menunjukkan begitu banyak rakaman video sehingga bertih jagung saya habis,” kata Joaquin.
Sewaktu di Valencia pada 2008 hingga 2012, kelab itu di label antara pasukan terbaik di Sepanyol berikutan berjaya menamatkan kempen di kedudukan tiga teratas La Liga selama tiga musim berturut-turut sebelum Emery berhijrah ke Spartak Moscow.
Kontrak Emery bersama PSG akan berakhir pada hujung musim ini selepas gagal membantu kelab itu melepasi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. – REUTERS











