PARIS – Neymar dilaporkan telah membuat keputusan jelas kepada Paris Saint-Germain (PSG) bahawa dia mahu berhijrah ke Real Madrid pada Jun depan.
Bagaimanapun, juara Ligue 1 itu menegaskan, mereka tidak akan membenarkan pemain asetnya meninggalkan Paris tanpa berjuang mengekalkan khidmat penyerang Brazil tersebut.
Difahamkan, Neymar, 26, masih bergelut untuk menyesuaikan diri bersama PSG selepas setahun melakukan rekod perpindahan termahal dunia bernilai £200 juta (RM1.065 bilion) daripada Barcelona.
Ejen Neymar, Pini Zahavi telah bertemu dengan Presiden Real, Florentino Perez pada 13 Mei lalu sebelum bertemu peguam Neymar sehari kemudian.
Ayah Neymar juga terdesak untuk menyaksikan perpindahan anaknya itu ke kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Sementara itu, Zahavi telah menawarkan PSG iaitu penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski sebagai pengganti kepada Neymar selepas dia kini turut menjadi ejen kepada bintang Poland tersebut.
Bagaimanapun, PSG lebih berminat untuk mengekalkan khidmat pemain yang masih memiliki kontrak sehingga 2022 tersebut.
Jika Real meneruskan rundingan berkenaan, perpindahan Neymar dijangka selesai sebelum berakhir kejohanan Piala Dunia yang akan tamat pada 15 Julai depan. – Agensi










