BATU PAHAT 22 Mei – Lapan buah kenderaan terlibat dalam kemalangan dipercayai akibat sebuah lori yang mengalami masalah brek di persimpangan lampu isyarat Sri Medan, di sini pagi tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 11.15 pagi itu, tiada kecederaan terhadap kesemua mangsa yang terlibat, namun berpuluh-puluh biji buah durian yang dibawa sebuah pikap bertaburan di atas jalan raya ekoran nahas itu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kelapan-lapan buah kenderaan tersebut datang dari arah Batu Pahat menghala ke Yong Peng termasuk lori terbabit yang membawa muatan kayu.
“Ketika tiba di tempat kejadian kesemua kenderaan dalam keadaan perlahan dan hampir berhenti, namun tiba-tiba brek lori tersebut dipercayai tidak berfungsi sebelum hilang kawalan.
“Lori yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun itu kemudian melanggar sebuah kenderaan di hadapannya lalu menyebabkan kesemua kenderaan berlanggar dan bertembung antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Abdul Wahib berkata, cuaca ketika kejadian amat baik termasuk permukaan jalan kering dan kes terbabit disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN ONLINE











