BAGAN SERAI – Akibat menggunakan wang palsu yang dicetak sendiri bagi membeli telefon pintar, dua lelaki menerima padah apabila ditahan polis di dalam sebuah premis di Jalan Pasar di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, kegiatan dua lelaki berusia 26 dan 36 tahun itu disedari pekerja premis selepas melihat empat keping duit berkenaan mempunyai nombor siri yang sama.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pekerja premis kemudian memaklumkan kepada majikan sebelum dia bertindak menghubungi pihak polis.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM600 terdiri daripada empat keping wang kertas RM100 dan empat keping RM50 bagi membeli sebuah telefon pintar jenis Huawei.
“Kedua-dua suspek kemudian keluar dari kedai tersebut sebelum memasuki sebuah lagi premis sama di sekitar lokasi pertama bagi membuat urusan pembelian telefon lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kerian di sini sebentar tadi.
Tambah Omar Bakhtiar, tindakan pantas polis berjaya menangkap suspek yang sedang leka memilih telefon pintar di premis kedua itu.
“Polis menemui sekeping wang tunai RM100 palsu yang berada pada salah seorang suspek selepas pemeriksaan dibuat terhadap mereka.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui enam telefon pintar pelbagai jenama dan dua buah komputer riba dipercayai dibeli dengan duit palsu,” katanya.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut di rumah inap desa yang disewa suspek di Taiping pula menemui 36 keping wang RM100 palsu bersama pelbagai peralatan mencetak wang berkenaan.
“Suspek sering berpindah bagi mengaburi kegiatan mereka daripada dikesan.
“Mereka mampu mencetak sebanyak 2,000 keping wang kertas sehari dan kegiatan mereka telah dilakukan sejak setahun yang lalu,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan sama dan mereka turut dikehendaki polis atas empat kes yang dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan kedua-dua mereka direman selama tujuh haru bermula semalam hingga 28 Mei depan,” katanya. – K! ONLINE











