Dua dijel, sebat mengaku rompak pemandu Grab - Utusan Malaysia

Dua dijel, sebat mengaku rompak pemandu Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – Dua penganggur masing-masing dihukum penjara empat tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak secara berkumpulan seorang pemandu Grab, Mac lalu.

Azirul Samsudin, 22, dan Abdul Manap Sabarin, 24, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Zamri Bakar hari ini.

Mengikut pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama melakukan perbuatan tersebut terhadap Mohd. Akmal Hakimi Othman, 28, dengan melarikan seunit telefon bimbit jenama Samsung J7 dan wang tunai RM100 di hadapan Flat Jinjang Baru, Sentul di sini pada pukul 3.30 pagi, 18 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan masing-masing mempunyai keluarga untuk ditanggung, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah memerintahkan Azirul dan Abdul Manap menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 29 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki itu telah menempah perkhidmatan Grab untuk ke Flat Jinjang Baru, bagaimanapun setibanya di Brem Mall, mangsa mendapati penumpangnya itu telah membatalkan tempahan berkenaan.

Mangsa bagaimanapun meneruskan juga perjalanan dan setibanya di destinasi, salah seorang tertuduh telah merangkul lehernya manakala seorang lagi mengambil barangan peribadi sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN