KUALA LUMPUR 14 Mei – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak digugurkan keahlian UMNO secara automatik.
Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, soal pilihan raya kecil (PRK), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan nasib mereka.
“Secara automatik, mereka gugur sebagai ahli UMNO. Mereka bukan lagi ahli UMNO kerana mereka menyokong kerajaan yang bukan di bawah BN.
“Saya tahu ada yang mengaku bahawa mereka masih pemimpin UMNO dan sekadar menyokong kerajaan belah sana, tetapi tidak ada perlembagaan yang menyebut bahawa menyokong pihak pembangkang dan terus menjadi ahli sebagai sesuatu yang boleh diterima,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini.
Sabtu lalu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengakui beliau dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi merupakan wakil rakyat BN yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak.- UTUSAN ONLINE










