DOJ khianati kami - Puteri UMNO Tawau - Utusan Malaysia

DOJ khianati kami – Puteri UMNO Tawau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU 15 Mei – Pergerakan Puteri UMNO Tawau menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal yang berpaling tadah dengan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau, Nazliah Ali berkata, mereka amat kecewa dan terkilan apabila ADUN berkenaan yang mesra disapa DOJ memenangi kerusi Balung menerusi tiket BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini secara terbuka menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kalau bahagian lain kami tidak peduli, yang kami kecewa adalah tindakan DOJ, bagi saya ini satu pengkhianatan buat kami dan semua pengundi khususnya rakyat.

“Sepatutnya sebelum membuat keputusan, beliau memanggil kami, panggil kami untuk berbincang, kami yang setengah mati bekerja untuk jentera siang dan malam, tetapi akhirnya dia buat begini,” luahnya dengan rasa kecewa dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Nazliah mengadakan mesyuarat bersama 21 ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau mengenai hala tuju anggotanya bersama UMNO.

Mengulas mengenai intipati mesyuarat itu, Nazliah berkata, mereka sentiasa menyokong kepimpinan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Musa Aman.

Menurutnya, bahagian UMNO Tawau akan mengadakan mesyuarat bersama Pemangku Timbalan Ketuanya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan kira-kira pukul 10 pagi esok di Pejabat UMNO Bahagian Tawau.

“Esok Datuk Nizam akan beritahu apa perjalanan dan penentuan UMNO Tawau seterusnya, ia semua berkaitan dengan pendirian kita.

“Kami serahkan kepada beliau untuk membuat keputusan dan hala tuju parti di Tawau,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×