KETUA jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff memuji semangat juang dan kegigihan yang dipamerkan anak-anak buahnya selepas berjaya menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin.
Menurutnya, walaupun skuad Helang Merah beraksi tanpa penyerang utama, namun kesebelasan pemain menunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan di depan penyokong sendiri.
Malah katanya, beliau berbangga dengan kekentalan jentera pertahanan Kedah yang berdisiplin tinggi bagi mengekang asakan gandingan trio penyerang import Pahang, Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima.
“Saya bersyukur walaupun kita tiada penyerang utama tapi para pemain saling bergilir-gilir menjaringkan gol pada aksi itu termasuk beberapa perlawanan lalu.
“Pemain pertahanan juga berjaya mematahkan asakan bahaya daripada penyerang Pahang hasil disiplin tinggi yang ditunjukkan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, gol pertama Kedah dijaringkan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar menerusi sepakan percuma pada minit ke-43, manakala gol kedua pula hasil sentuhan pemain import, Liridon Krasniqi yang menerima hantaran kemas pemain gantian, Akhyar Rashid (m-88).
Nidzam menambah, anak-anak buahnya turut beraksi penuh yakin dan mengikut arahan yang diberikan sehingga tamat perlawanan.
“Saya rasa kemenangan ini akan melonjakkan lagi semangat kami untuk berdepan perlawanan seterusnya menentang Selangor selepas ini,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin memberitahu, proses mengikat penyerang import baharu, Paulo Rangel kini berjalan lancar dan berada pada peringkat akhir untuk didaftarkan.











