BANGKOK 22 Mei – Malaysia mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Thomas selepas membelasah Algeria 5-0 hari ini, namun cabaran sebenar hanya hadir esok apabila menentang juara bertahan Denmark.
Pemenang akan muncul juara Kumpulan D, bermakna laluan lebih baik bakal menanti dalam suku akhir berbanding bergelar naib juara.
Di atas kertas, hanya juara dunia Viktor Axelsen sudah mengesahkan kedudukan sebagai perseorangan pertama Denmark, manakala untuk acara lain masih menjadi tanda tanya.
Mereka boleh memilih Anders Antonsen sebagai perseorangan kedua dan meletakkan Hans-Kristian Solberg Vittinghus atau Jan O Jorgensen sebagai perseorangan ketiga.
Juara Eropah itu juga boleh menurunkan Vittinghus sebagai perseorangan kedua dan Jorgensen ketiga.
Percaturan beregu mereka juga menarik selepas ketiadaan pemain No. 2 dunia Carsten Mogensen.
“Saya sendiri tidak tahu siapa yang akan menentang kami esok, Denmark penuh teka-teki dan nampak cuba bermain psikologi dalam dua perlawanan pertama.
“Siapa pun yang akan diturunkan oleh mereka, kami sudah bersedia. Saya percaya, pasangan kedua kami juga sudah bersedia. Tiada gunanya bercakap tentang orang lain, lebih baik siapkan diri sendiri,” kata Wee Kiong. – UTUSAN











