HASRAT seorang gadis untuk bergelar saintis forensik tidak kesampaian apabila dia disahkan menghidap penyakit Cardiomyopathy.
Penyakit maut yang dialami oleh Maddy Orford, 17, itu menyebabkan saiz otot jantungnya menjadi lebih besar daripada manusia normal sehingga menyebabkan ia mengepam darah ke seluruh tubuh.
Lebih menyedihkan apabila penyakit yang dialaminya itu hanya diketahui kira-kira seminggu sebelum dia melanjutkan pengajian di sebuah universiti.
Menurut ibunya, Barbara Spiller, 58, sebelum itu, dia menyedari anaknya sering keletihan, keresahan dan tercungap-cungap terutamanya ketika penat.
Bagaimanapun, pada waktu itu, dia hanya menyangka Orford menghidap penyakit asma.
“Sejak dia melanjutkan pengajian di peringkat A-level di Akademi Lincolnshire Bourne, kesihatan Orford semakin merosot. Kulitnya kelihatan pucat dan dia sering mengeluh kepenatan.
“Pada waktu itu, doktor hanya mengatakan keadaan tersebut berkemungkinan disebabkan oleh penat, namun ia sebenarnya merupakan tanda-tanda awal Cardiomyopathy.
“Biarpun penyakit Orford berjaya dikesan seminggu sebelum dia ke menara gading, namun semuanya sudah terlambat. Orford pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya pada 7 Ogos lalu selepas pembedahan pemindahan jantung yang kedua gagal,” jelasnya.
Cardiomyopathy merupakan penyakit yang berlaku di bahagian otot jantung dan penyakit itu boleh dihidapi oleh setiap satu daripada tiga orang remaja di England.
Sesak nafas
Antara tanda awal penyakit tersebut ialah sesak nafas, pening, asma, kekurangan zat besi dalam badan dan kebimbangan yang melampau.
Mengenang kembali sepanjang hayat anaknya itu, Spiller menyifatkan Orford sebagai seorang remaja yang aktif dan sihat.
“Orford tidak pernah sakit dan aktif melibatkan diri dalam acara sukan.
“Ketika mengambil A-level di Akademi Lincolnshire Bourne, Orford merupakan antara pemain harapan dalam skuad bola sepak wanita akademi itu.
“Bagaimanapun, semuanya berubah selepas Orford pengsan ketika sedang berlawan dalam satu perlawanan bola sepak anjuran akademi itu,” jelasnya.
Menurut Spiller, Orford kemudiannya dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidap asma.
Beberapa bulan sebelum dia mendaftarkan diri ke universiti, Orford sekali lagi pengsan ketika sedang membuat persiapan untuk ke menara gading.
“Doktor akhirnya mengesahkan dia mempunyai saiz jantung yang lebih besar daripada manusia normal dan didiagnosis dengan penyakit Cardiomyopathy,” jelasnya.
Hasil pemeriksaan mendapati, Orford mempunyai injap jantung berlipat dan limpahan cecair yang banyak dalam paru-paru serta perut.
Limpahan cecair
Pembedahan pemindahan jantung kemudian dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya.
“Pembedahan pertama yang dijalani Orford berjaya, bagaimanapun beberapa jam kemudian denyutan jantungnya berada dalam keadaan tidak normal iaitu dengan kadar 235 seminit berbanding manusia normal hanya sekitar 60 hingga 100 sahaja.
“Doktor kemudian membuat pembedahan kedua, namun pembedahan tersebut gagal dan anak saya pergi untuk selama-lamanya,” jelas Spiller.
Dalam pada itu, menurut pakar kardiologi di Hospital Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Dr. Philip Binkley, Cardiomyopathy merupakan penyakit yang mempengaruhi saiz jantung dan menyebabkan ia sukar untuk mengepam darah ke tubuh.
“Ia mempunyai tiga kategori iaitu Hypertrophic (dinding jantung menebal), Dilated (penipisan otot jantung) dan Arrhythmogenic Right Ventricular (kegagalan otot jantung berfungsi).
Penyakit yang berlaku disebabkan keturunan ini masih tidak mempunyai penawar, namun penggunaan ubat dan pemindahan jantung berkemungkinan mampu menormalkan kembali degupan jantung pesakit.
Seorang gadis terpaksa melupakan hasratnya untuk bergelar saintis forensik apabila otot-otot jantungnya gagal mengepam darah ke seluruh tubuh dengan baik.











