RAUB 29 Mei – Dalam usaha mengembangkan kemahiran berfikir dalam kalangan mahasiswa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub bertindak proaktif menganjurkan Pertandingan Debat Piala Penolong Rektor baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Kelab Debat dan Pidato UiTM Kampus Raub itu berlangsung dari April hingga Mei tahun ini dengan penyertaan sebanyak 14 pasukan dalam dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Dalam pertandingan itu menyaksikan Kelab Debat dan Pidato UiTM Kampus Raub memenangi kategori Bahasa Melayu manakala kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh Kelab Gerakan Sukarelawan Mahasiswa UiTM Kampus Raub.
Penolong Rektor UiTM Kampus Raub, Dr. Khairi Khalid berkata, program tersebut amat signifikan untuk mengasah bakat mahasiswa dalam pengucapan awam dan memperkasakan kebolehan mereka untuk mengembangkan kemahiran berfikir.
“Saya amat mengalu-alukan penganjuran program seperti ini dan berharap ia akan terus diadakan lagi hingga ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
“Kita sentiasa menyokong program sebegini kerana universiti bukan sahaja tempat untuk mahasiswa menimba ilmu secara terus di dalam kelas tetapi mengasah bakat dengan adanya program-program ilmiah seperti ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, program debat tersebut dapat mengembangkan lagi pemikiran mahasiswa melalui pelbagai usul dan topik yang dibangkitkan.
Ujarnya, antara usul yang dibawa dalam program debat itu adalah dalam bidang ekonomi, isu gender dan Transformasi Nasional 2015 (TN50).










