BANGKOK 29 Mei – Setelah diburu selama beberapa bulan, lelaki dipercayai dalang pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Johor Baharu, Johor Disember lepas akhirnya ditangkap di Thailand, hari ini.
Suspek yang namanya dirahsiakan itu berusia dalam lingkungan 40 tahun dan mempunyai satu tatoo besar di lengan kanan, ditangkap sekumpulan pegawai polis Thailand di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok kira-kira 7 pagi tadi.
“Lelaki itu merupakan suspek paling dikehendaki dalam kes pembunuhan (di sebuah stesen minyak di Johor Bahru). Dia dipercayai menjadi dalangnya,” kata Penolong Pegawai Perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand, Superitenden Ridzuan Abdul Aziz kepada Bernama di sini.
Penangkapan suspek oleh polis Thailand itu dibuat berikutan permohonan bantuan oleh rakan sejawatan mereka dari Malaysia beberapa bulan lepas sekali gus menamatkan operasi memburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kedua-dua negara. – BERNAMA











