DUNGUN 23 Mei – Ibu kepada tujuh orang anak yang sukar meloloskan diri daripada pengaruh dadah merupakan antara 15 penagih yang ditahan dalam Ops Tapis di ladang kelapa sawit Felda Jerangau, dekat sini semalam.
Berdasarkan rekod, ibu tunggal berusia 37 tahun itu sudah berulang kali ditahan atas kesalahan berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik dilakukan mulai pukul 8.30 pagi hasil daripada intipan sebelum itu.
Katanya, operasi dibuat berikutan aduan orang ramai berkenaan kalangan penagih menjadikan ladang kelapa sawit sebagai lokasi melepas gian kerana jauh dari pandangan masyarakat.
“Mereka dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun yang kesemuanya positif dadah jenis morfin bukan sahaja mengambil bahan terlarang tetapi juga tidak menghormati bulan Ramadan.
“Kesemua mereka mengaku mendapatkan bekalan daripada pengedar tempatan. Kes disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










