TAWAU 22 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1,086 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM44,820 di perairan Kampung Titingan di sini malam tadi.
Ketua Maritim Zon (KZM), Kapten Maritim Romli Mustafa berkata, dalam tangkapan itu, pasukannya turut menahan sebuah bot laju yang membawa rokok berkenaan untuk diseludup dan dipasarkan dalam daerah ini.
Menurutnya, pihaknya mengesan bot terbabit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menjalankan rondaan pada pukul 11.12 malam tadi.
“Bot tersebut dipercayai sedang menuju ke penempatan air Kampung Titingan setelah memuatkan bekalan rokok dari Sungai Nyamuk, Indonesia.
“Apabila menyedari kehadiran Maritim Malaysia, dua suspek yang berada dalam bot laju memecut ke arah perkampungan air untuk meloloskan diri, bagaimana pun anggota kita berjaya memintas bot tersebut manakala tekong dan awak-awak bertindak terjun ke laut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Romli memberitahu,
rokok, bot laju dan enjin sangkut yang dirampas bernilai RM104, 820 dan kes itu akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Beliau menambah, Maritim Malaysia Tawau akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang di daerah itu dapat dibanteras dan dikurangkan. – UTUSAN ONLINE











