CEUPACS rayu kerajaan lanjutkan notis penamatan perkhidmatan - Utusan Malaysia

CEUPACS rayu kerajaan lanjutkan notis penamatan perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Kerajaan diminta mempertimbangkan tempoh perkhidmatan sebahagian daripada 17,000 pekerja kontrak dan tetap yang bakal ditamatkan berkuat kuasa 16 Jun ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Datuk Azih Muda berkata, notis pemberhentian yang diberikan selama sebulan iaitu dari 16 Mei hingga 16 Jun terlalu suntuk, sekali gus menyukarkan pekerja berkenaan membuat perancangan kerjaya.

Selain itu, katanya, tarikh akhir notis perkhidmatan yang bersamaan dengan hari kedua Aidilfitri bakal mengundang pelbagai kesulitan dalam menyiapkan persiapan dan belanja seisi keluarga.

“Kebanyakan mereka meminta notis pemberhentian dilanjutkan supaya mempunyai tempoh secukupnya untuk menguruskan permohonan kerjaya di tempat lain tanpa menjejaskan punca pendapatan.

“Jadi, CUEPACS merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan notis pemberhentian, khususnya golongan pekerja daripada kumpulan pelaksana satu, dua dan pengurusan serta profesional (P&P) yang langsung tidak terbabit dengan urusan dasar.

“Mereka ini hanya pekerja kumpulan pentadbir daripada gred satu hingga 40 yang hanya mengikut arahan agensi berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma CUEPACS, di sini sebentar tadi.

Susulan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS, Azih mencadangkan tempoh bersesuaian bagi notis pemberhentian kerja sewajarnya adalah antara tiga hingga enam bulan supaya tidak mencetuskan polemik dalam kalangan penjawat awam.

Menurut Azih, kesatuan turut merancang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN