KUALA LUMPUR 29 Mei – Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) telah memfailkan kes terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes kerana didakwa melanggar peraturan untuk mendapatkan lesen bagi operasi antarabangsa.
Menurut laporan Reuters yang memetik jurucakap CBI sebagai berkata, mereka melakukan carian di pejabat AirAsia di Delhi dan Mumbai bagaimanapun jurucakap tersebut enggan mengulas lanjut.
Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia melancarkan operasi penerbangan domestik di India pada 2014 bersama rakan kongsi usahasama dengan syarikat tempatan India, Tata Sons.
Sementara itu, menurut laporan portal Khaleej Times, kes tersebut didakwa berkaitan dengan pelanggaran norma oleh pengarah syarikat penerbangan berhubung kelonggaran peraturan 5/20 dalam sektor penerbangan untuk mendapatkan lesen bagi operasi antarabangsa.
Laporan portal tersebut menyebut, perbuatan itu juga melanggar peraturan Lembaga Promosi Pelaburan Asing (FIPB).
Peraturan 5/20 itu menyebut bahawa syarikat memerlukan pengalaman selama lima tahun dan 20 pesawat untuk melayakkan mereka menerima lesen.
Portal tersebut juga melaporkan selain Tony, pemilik syarikat Travel Food, Sunil Kapoor, Pengarah Air Asia R. Venkatraman, perunding penerbangan, Deepak Talwar, Pengarah SNR Trading, Rejendra Dubey yang berpangkalan di Singapura dan penjawat awam yang tidak dikenali telah dinamakan dalam laporan polis maklumat pertama (FIR).
Laporan tersebut berkata, Tony didakwa melobi dengan pegawai kerajaan untuk mendapatkan kelulusan, menghapuskan peraturan penerbangan 5/20 yang sedia ada dan mengubah dasar. – UTUSAN ONLINE










