ALOR SETAR 14 Mei – Kerajaan digesa supaya tidak lagi menggabungkan perkara berkaitan koperasi ke dalam satu portfolio yang sama dengan hal ehwal perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan seperti yang dilakukan oleh pentadbiran negara sebelum ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan kementerian berkaitan dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha melindungi hal ehwal pengguna di negara ini.
“Kami berpandangan, kewujudan elemen koperasi dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum ini mendatangkan bebanan kepada pihak berkaitan untuk lebih fokus kepada isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menjadi rungutan pengguna pada masa ini.
“Justeru kami berharap kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan supaya elemen koperasi itu dimasukkan ke dalam kementerian lain yang lebih sesuai. Dengan yang demikian, tumpuan dapat diberikan kepada tugas penguatkuasaan apatah lagi sebelum ini pihak kementerian tersebut sering memberi alasan mendakwa jumlah penguatkuasa yang ada tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Selain itu katanya, beberapa penambahbaikan turut perlu dilakukan termasuk membebaskan gerakan-gerakan pengguna sama ada di peringkat negeri dan daerah daripada cengkaman politik.
“Gerakan ini sudah diwujudkan oleh pihak kementerian namun malangnya ia dipelopori oleh aktivis politik dan bukannya aktivis masyarakat. Justeru kami amat berharap supaya gerakan tersebut diketuai oleh individu bersifat neutral yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memohon supaya wakil dari persatuan-persatuan pengguna yang aktif dapat dilantik sebagai salah seorang daripada ahli majlis pihak berkuasa tempatan bagi memastikan suara pengguna dapat diketengahkan sehingga ke peringkat atasan.
“Pada hemat kami, kebanyakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) selama ini gagal membawa suara masyarakat setempat ke peringkat atasan sementara ahli PBT pula seringkali dilantik dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak aktif.
“Perkara ini perlu diberi perhatian ketika kerajaan sebelum ini juga dilihat kurang mendengar apa yang persatuan-persatuan pengguna ini cuba sampaikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










