CABARAN, HARAPAN KABINET DR. MAHATHIR - Utusan Malaysia

CABARAN, HARAPAN KABINET DR. MAHATHIR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah untuk menyusun atur barisan Kabinet baharu yang datang dari latar belakang empat parti berbeza, namun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya merealisasikannya.

DR. MAHATHIR MOHAMAD dikunjungi Dr. Maszlee Malik di Putrajaya, baru-baru ini.

Walaupun suatu ketika ada ‘pelanggaran’ manifesto Pakatan Harapan ketika Dr. Mahathir mengumumkan beliau turut memegang portfolio Menteri Pendidikan, tetapi dengan tenang dan bersahaja beliau pantas melepaskannya ‘tanpa ribut-ribut’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, pelantikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Johor, Dr. Maszlee Malik, 44, sebagai menteri yang dilepaskan Dr. Mahathir itu rupa-rupanya bertepatan pula dengan aspirasi anak muda terutama mahasiswa.

Pengalaman luas memikul jawatan nombor satu kerajaan selama 22 tahun sebelum ini membolehkan Dr. Mahathir menguruskan pengagihan jawatan Kabinet dalam kalangan parti DAP, PKR, PAN dan PPBM dengan cekap meskipun ada antara parti itu baru dikenalinya ‘luar dalam’ hanya dua tiga tahun ini sahaja.

Begitupun, tanggungjawab yang dipikul oleh Kabinet kecil me­ngandungi 10 menteri ini agak mencabar.

Rakyat sedang memerhatikan sejauh mana janji-janji yang tertera dalam manifesto pilihan raya tempoh hari tertunai atau sebaliknya.

Setakat ini, rakyat telah mendapat jaminan berkuat kuasa 1 Jun ini, cukai barang dan per­khidmatan (GST) tidak lagi dikenakan – antara ‘peluru’ kempen paling bernilai Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN) 9 Mei lalu.

Sementara banyak lagi yang dijanjikan termasuklah ber­kisar pemansuhan tol, Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan beberapa lagi yang berkepentingan rakyat sedang melalui tempoh ‘tunggu dan lihat’.

Semalam, rakyat menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan Menteri bagi 10 kementerian di Istana Negara dengan wajah penuh harapan untuk melihat Malaysia dipacu me­rentasi Wawasan 2020 yang direncanakan sendiri Dr. Mahathir.

Saf tersebut diyakini buat masa ini sebagai pasukan yang mencerminkan kekuatan serta kemajmukan rakyat dari setiap pelosok negara.

Maka rakyat perlu memberi peluang, sokongan dan dukungan kepada kerajaan baharu menjalankan tugas mentadbir dengan baik.

Di sebalik itu, cabaran Kabinet Perdana Menteri juga bukan mudah terutama dalam mengharungi kelanta­ngan pergerakan golo­ngan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ini memandangkan baru sahaja Dr. Maszlee dilantik menteri, sudah muncul kelibat peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim @ Siti Kasim melancarkan kempen bantahan secara besar-besaran terhadap pelantikannya.

Selain mempertikaikan prinsip Dr. Maszlee sebagai seorang Muslim progresif, Siti Kasim yang pernah menyeru umat Islam Malaysia agar ‘mempe­lajari Islam yang sebenar’ itu juga mahu agar jawatan menteri Pendidikan dikemba­likan kepada Dr. Mahathir.

Berdasarkan pos­ting Siti Kasim di laman Facebooknya kelmarin, aktivis sosial yang tegar memperjuangkan LGBT itu menegaskan antara sebab penenta­ngannya terhadap Dr. Maszlee adalah kerana menteri berkenaan pernah menuduhnya sesat.

Beliau yang dihubungi oleh The STAR berhubung isu itu menjelaskan bahawa dia tidak menentang Dr. Maszlee secara peribadi tetapi berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sangat dipe­ngaruhi oleh golongan agama.

Dalam ertikata lain, Siti Kasim enggan kementerian berkenaan diterajui oleh golongan agamawan.

Apa pun, Kabinet baharu Dr. Mahathir diharap menjadi tanda kepada satu pendekatan baharu pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

Paling penting, mereka yang dilantik itu harus memenuhi keperluan rakyat dengan mencari penyelesaian serta mentadbir urus ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN