PUTRAJAYA 24 Mei – Prestasi kejatuhan pasaran saham di Bursa Malaysia melibatkan pelbagai faktor lain dan bukan hanya semata-mata isu skandal 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB) serta kedudukan hutang negara mencecah RM1 trilion.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beberapa pasaran lain di seluruh dunia turut mengalami penurunan akibat pelbagai faktor termasuk di Thailand.
“Kita perlu berikan pasaran melakukan ubah suai mengikut dinamik masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Bursa Malaysia hari ini mengekalkan momentum kejatuhan sejak semalam apabila ditutup 1.6 peratus lebih rendah kepada paras 1775.66 mata.
Dalam pada itu, Guan Eng hari ini membentangkan pecahan hutang negara yang telah mencecah RM1.08 trilion (80.3 peratus) pada 31 Disember 2017.
“Pertamanya, hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain itu, kerajaan juga perlu membayar jaminan kerajaan kepada pelbagai entiti yang gagal untuk membayar hutangnya. Jumlah ini adalah sebanyak RM199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK).
“Antara jaminan itu melibatkan entiti seperti Danainfra Nasional Bhd. (RM42.2 bilion), Govco Holdings Bhd. (RM8.8 bilion), Prasarana Malaysia Bhd. (RM26.6 bilion), Malaysia Rail-link Sdn. Bhd. (RM14.5 bilion) serta dianggarkan RM38 bilion untuk 1MDB,” katanya.
Katanya, selain jumlah berkenaan, kerajaan juga dikehendaki untuk menjelaskan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK).
Guan Eng menegaskan, meskipun Kerajaan Persekutuan telah berubah tampuk kepemimpinan, tanggungjawab dan komitmen terhadap kewangan negara adalah tidak berubah.
“Dalam tempoh jangka pendek, keputusan untuk memberi kebenaran mungkin menimbulkan ketidak selesaan kepada (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bagaimanapun, kita percaya bahawa dalam tempoh sederhana, dengan mengakui situasi hutang hari ini, kerajaan dapat mengambil langkah konkrit untuk mengawal selia dan mengukuhkan kedudukan kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









