KUALA LUMPUR – Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yakin dengan kemampuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 92, untuk melakukan pembaharuan berdasarkan rekodnya sebelum ini.
Brown juga berpendapat, Mahathir merupakan ‘seorang lelaki yang telah berubah’.
Beliau berkata, pada masa dahulu, Mahathir seringkali melakukan perkara-perkara mengikut ‘cara saya’ berbanding ‘cara kami’.
Ditanya apakah dia yakin Mahathir telah meninggalkan ‘cara lamanya’ itu, Brown yang berpangkalan di London berkata, dirinya tidak lagi ragu-ragu.
“Ya, saya mengambil sedikit masa untuk meyakinkan diri sendiri. Saya jumpa beliau tiga, mungkin empat kali dan beliau hadir beberapa kali ke London.
“Saya berpeluang sekali dua untuk bercakap dengannya dan saya dapat lihat dia benar-benar mula menyedari, antara lain, mengapa penting untuk mempunyai media bebas.
“Beliau komited dengan agenda pembaharuan dan itulah yang menjadikan segala-galanya begitu berkuasa. Kamu mempunyai Mahathir sebagai ikon besar, seorang pemimpin yang mana (rakyat) Malaysia mempunyai keyakinan dan beliau begitu komited dengan agenda reformasi dan ramai yang menyokongnya,” katanya dalam wawancara bersama portal berita Malaysiakini semalam.











