KANGAR 29 Mei – Barisan Nasional (BN) negeri ini akan mengadakan sidang akhbar khas pada Jumaat ini bagi memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berikutan salah faham membabitkan soal pelantikan Menteri Besar sebelum ini.
![]() |
|
ZAHIDI
|
Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sidang akhbar yang bakal dihadiri oleh semua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu juga diadakan bagi menjelaskan mengapa mereka menolak pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, sidang akhbar tersebut akan diadakan di Hotel Putra Regency di sini pada pukul 10.30 pagi.
“Sidang akhbar itu diadakan bertujuan untuk memohon ampun kepada Raja Perlis berhubung salah faham yang berlaku baru-baru ini. Kita akan terangkan juga mengapa kita menolak Azlan.
“Selepas itu, kita yakin masalah yang berlaku ini akan dapat diselesaikan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam tujuh Ahli Dewan Undangan ADUN Barisan Nasional BN yang tidak menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, menyatakan pendirian menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin.
Perkara itu dimaklumkan ADUN Santan, Azizan Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar yang mewakili mereka kerana kesemuanya telah bersepakat untuk menjunjung titah baginda. – UTUSAN ONLINE












